Monday, November 7, 2011

Mengiktiraf Peranan Wanita


Peranan wanita pada hari ini adalah penting dalam bidang politik, pembangunan modal insan, perniagaan dan sosial negara. Melalui kesaksamaan gender dan keperkasaan wanita, membolehkan seseorang wanita mampu menjana kemakmuran dan pendapatan negara yang tinggi pada tahun 2020. Wanita telah menguasai bidang-bidang tertentu yang dahulunya didominasi oleh kaum lelaki antaranya bidang seni bina, kejuruteraan, pengurusan, korporat   dan kedoktoran falsafah.   . Pencapaian pendidikan bagi golongan wanita lebih tinggi daripada kaum lelaki dimana kita boleh lihat kebanyakan institute pengajian tinggi mempunyai pelajar perempuan lebih ramai daripada pelajar lelaki. Fenomena menunjukkan golongan wanita telahpun mempunyai daya saing dengan lelaki dalam pelbagai bidang.

Dalam pembentangan Bajet 2012, kerajaan menyediakan RM2.1 billion sebagai pinjaman mikro kepada usahawan wanita melalui Badan Amanah Ikhtiar Malaysia ( AIM ). Daripada jumlah RM2.1 billion, sebanyak RM 100 juta disediakan untuk usahawan kaum Cina dan RM 100 juta lagi bagi kaum India. Kerajaan telah meluluskan dasar sekurang-kurangnya 30 % wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat.  Melalui dasar tersebut, kerajaan akan menjalankan program latihan bagi wanita yang berpotensi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat, mempertingkatkan penyertaan kaum wanita di dalam bidang perniagaan dan usahawan serta mempergiatkan aktiviti advokasi. Pertubuhan bukan kerajaan ( NGO ) juga memainkan peranan penting ke arah meningkatkan penyertaan kaum wanita dalam aktiviti ekonomi. Selain itu, golongan wanita digalakkan mempunyai nilai-nilai positif seperti kreatif, dinamik , dedikasi dan sanggup menerima cabaran supaya mereka sentiasa berada di hadapan dan berdaya saing dengan kaum lelaki. 

Dengan pelbagai program latihan yang disediakan oleh kerajaan, golongan wanita harus membuktikan kebolehan diri dengan merebut peluang yang ada di depan mata dan  tidak berasa terpinggir daripada arus pembangunan negara . Persepsi yang negatif terhadap wanita  tidak dapat diterima lagi untuk negara membangun seperti Malaysia kerana pencapaian wanita dalam pelbagai bidang amat ketara sekali dan betapa pentingnya sumbangan dan peranan wanita dalam membentuk kemajuan sesebuah negara dan bangsa. 

No comments: