Tuesday, November 1, 2011

Isu rasuah di Malasyia


Isu rasuah di Malaysia menjadi semakin serius sehingga menjejaskan imej Malaysia pada mata dunia. Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang dimana seseorang individu mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan dari pihak berkuasa setelah menerima wang tunai atau hadiah.  Menurut Transparency International, definisi rasuah ialah perilaku di jabatan atau pejabat awam, termasuk para politikus dan pegawai-pegawai, secara tidak sah menurut undang-undang, mengayakan diri , memperkaya sahabat dan keluarga dengan menyalahgunakan kuasa dan kepercayaan awam yang diberi kepada mereka. Dari sudut undang-undang, perbuatan rasuah mencakupi melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan, penyalahgunaan harta negara, merugikan negara dan memperkaya diri sendiri dan kerabat.

Tidak dapat dinafikan bahawa rasuah politik berlaku di negara kita. Definisi rasuah politik ialah penyalahgunaan jawatan awam untuk kepentingan peribadi. Contohnya, Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang dikeluarkan baru-baru ini mendapati beberapa kementerian dan jabatan kerajaan membelanjakan peruntukan melebihi jumlah yang ditetapkan dan menyalahgunakan peruntukan serta tidak mengikut prosedur yang ditetapkan. Kejadian ini berlaku kerana terdapat kelemahan dari segi pengurusan perbelanjaan dimana tidak ada penyeliaan , pemantauan dari pihak atasan atau pemimpin . Ini akan mendorong pegawai awam melakukan kegiatan rasuah asalkan tiada sesiapa yang tahu , cari duit cepat kaya dan sikap suka menunjuk-nunjuk.  Kekurangan ketelusan dalam sistem pentadbiran kerajaan juga merupakan punca utama yang mencetuskan rasuah. Contohnya, kempen-kempen politik yang berbelanja melebihi peruntukan yang dibenarkan undang-undang sukar dikesan dan dibanteras.  Sesetengah ahli politik juga meberi rasuah kepada masyarakat setempat untuk mendapat kuasa dan menang pada pilihan raya. Selain itu, gaji penjawat awam yang terlalu rendah juga merupakan punca utama pegawai awam melakukan kegiatan rasuah supaya kehidupan lebih mewah.

Rasuah akan merosakkan kesaksamaan ekonomi dan keadilan sosial. Syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pegawai pengurusan atasan akan memberi rasuah sebagai jalan pintas untuk mendapatkan  tender dari pihak berkuasa supaya mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Secara tidak langsung, syarikat yang mendapat tender tidak akan bersaing dengan syarikat lain dan tidak berdaya maju lagi dalam pasaran negara.   Syarikat-syarikat yang dilindungi oleh pihak berkuasa mengelak  dari hukuman jika mereka gagal menyiapkan projek kerajaan pada masa yang ditetapkan.

Masalah sosial ini akan memberi impak negatif kepada negara jika tidak ditangani dengan segera. Pelbagai kegiatan jenayah akan berleluasa dan langkah kemajuan pembangunan negara terbantut kerana tidak ada pelabur asing yang berani melabur di negara kita.  Sistem pentadbiran menjadi kucar-kacir jika amalan rasuah tidak dapat dibendung oleh pihak berkuasa. Langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk membanteras gejala rasuah . Antaranya mengukuhkan jati diri penjawat awam dan masyarakat rakyat Malaysia supaya mereka benci kepada rasuah. Benci kepada rasuah dapat dihayati dalam dirinya sekiranya setiap individu dididik benci rasuah sejak persekolahan lagi. Sistem pendidikan memainkan peranan yang penting untuk membentuk generasi yang akan datang bebas daripada rasuah. Kerajaan boleh mengadakan kempen yang bertajuk “rasuah musnahkan kehidupan ”  di masyarakat setempat supaya penduduk tempatan mengamalkan kehidupan yang sihat dan bebas daripada rasuah. Kerajaan seharusnya meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang dan hukuman yang dikenakan kepada pesalah yang melakukan kegiatan rasuah. Mereka akan berasa takut dan berfikir panjang sebelum cuba melakukan kegiatan rasuah kerana hukuman berat akan dikenakan kepada mereka.

Kesimpulannya, rasuah adalah musuh utama negara dan harus dibendung dan dibanteras untuk keselamatan dan kesejahteraan negara. Rasuah akan menghancurkan kepercayaan orang awam terhadap sistem demokrasi negara kita dan menjejaskan negara  menuju ke arah  wawasan 2020.

No comments: