Monday, October 31, 2011

Educational issue



Education is the backbone of development of a country. Foreign
countries do not recognise our education system because our policies
are not permanent in nature. Whenever a new minister of education is
appointed the existing policies are changed because of political
pressure.
The PPSMI policy was introduced by Dr.Mahatir in 2003 and the
government has spent a vast amount of money for the implementation of
this program. Before we could see the actual results, the existing
minister of education announced in 2009 that the government would
reverse the PPSMI policy and revert to Bahasa Malaysia. Many NGOs
have shown their displeasure towards this new policy. Giving reasons
that it will give rise to chaos is unacceptable


Banteras Pornografi Laman Web


Perkhidmatan Internet diperkenalkan di negara Malaysia sejak tahun 1987. Akibat perkembangan teknologi yang semakin canggih menyebabkan rakyat Malaysia boleh mendapat informasi dengan mudah dan boleh menjelajah ke mana sahaja. Era globalisasi yang tidak mengenal batas, waktu dan ruang menyebabkan seseorang individu mudah mendapat informasi yang lengkap dengan satu “klik mouse”.

Pengedaran dan penjualan VCD dan DVD lucah yang semakin berleluasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan.Seseorang individu boleh menonton filem-filem lucah dengan mengklik “ mouse “ dengan tangan.  Terdapat sesetengah kakitangan pejabat sektor  swasta menggunakan masa pejabat  atau selepas waktu bekerja melayari  laman-laman sesawang pornografi.   Kakitangan pejabat ketagih menonton gambar-gambar lucah sehingga menjejaskan prestasi  kerja mereka. Mereka hilang perhatian dan tidak bertanggungjawab terhadap tugas yang diberikan oleh majikan mereka kerana pemikiran menjadi celaru dengan imej-imej lucah yang sentiasa terpampang di dalam minda mereka. Fenomena gangguan seksual di tempat kerja bukanlah satu fenomena yang baru. Pekerja wanita sering menjadi mangsa gangguan seksual dan merupakan masalah sosial yang semakin meruncing pada hari ini. Gangguan seksual telah menjadi isu global yang hangat dibincangkan di negara Malaysia bahkan di luar negara.

Kes-kes rogol dan pembuangan bayi  yang dilaporkan oleh pihak polis semakin meningkat dari setahun ke setahun. Trend ini jelas menunjukkan keruntuhan moral dan akhlak di kalangan rakyat Malaysia terutama golongan belia. Fenomena ini menjadi semakin gawat dan cukup membimbangkan sesetengah pihak kerana gejala ini akan memjejaskan matlamat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju pada tahun 2020. Akibat dirogol oleh teman lelakinya, anak gadis terpaksa melahirkan anak luar nikah dan membuang bayi di tepi longkang, tandas , tong sampah , tepi sungai serta dicampak dari rumah flat tanpa ada sikap kemanusiaan.

Langkah-langkah perlu diambil untuk  mengatasi gejala sosial yang tidak sihat terus berlaku. Antaranya menyekat dan mengekang pornografi siber mudah didapati di Internet terutamanya video-video seks . Kerajaan seharusnya mengenakan syarat-syarat yang ketat terhadap kafe siber seperti bilik Internet tidak boleh gelap dan skrin monitor dapat dipandang orang ramai . Ibu- bapa memainkan peranan yang penting dalam mengekang dan melindungi anak-anak mereka daripada terdedah kepada laman-laman sesawang pornografi. Ibu bapa boleh menggunakan perisian penapisan kandungan di rumahnya supaya menghalang akses ke laman web pornografi. Ibu bapa harus sentiasa mengawal dan mengambil tahu apabila anak mereka melayari laman web. Selain itu , ibu bapa harus menjalin hubungan yang baik dengan anak mereka  supaya menjauhi daripada melakukan perbuatan yang tidak dapat diterima oleh ahli keluarganya.

Akibat perkembangan teknologi komunikasi yang pesat , masyarakat menjadi makmur dan meningkatkan kesempatan kerja serta  meningkatkan produktiviti  negara. Tetapi ia juga memberi impak negatif jika rakyat Malaysia menyalahgunakan kemudahan internet yang disediakan oleh kerajaan .
Sebagai kesimpulan, masalah penyalahgunaan internet ini wajar dibendung kerana ia akan merosakkan moral golongan muda kita. Ia amat perlu dilaksanakan supaya mewujudkan satu masyarakat yang mempunyai jati diri yang baik.  

Sunday, October 30, 2011

Gelembung Harga Rumah Di Lembah Klang

      Sektor Perumahan adalah penting untuk menyediakan perlindungan yang baik dan  menjamin kesejahteraan rakyat sesebuah negara. Tetapi apa yang berlaku di Malaysia ialah harga rumah di Malaysia melambung melampau naik bukan sahaja menyebabkan golongan bawahan tidak mampu  memiliki rumah, malah golongan pertengahan juga turut  tidak mampu membelinya.  Harga rumah jenis teres, berkembang dan banglo naik mencecah di beberapa lokasi tertentu di Lembah Klang  kerana kekurangan tanah. Jika seseorang mahasiswa yang baru bekerja di Lembah Klang yang pendapatan sebulan sekitar RM1800 – RM2500 sebulan, adalah tidak mampu membeli seunit rumah teres di Lembah Klang. Berdasarkan kajian terkini  Real Estate and Housing Developers’ Association (REDHA), purata harga seunit rumah teres ialah RM 400 ribu. Dengan gaji sebulan RM 2500 dan pinjaman pembiayaan 90% daripada bank, seorang mahasiswa akan menghabiskan gaji sebulan untuk membayar balik ansuran bulanan pinjaman bank.
     Peluang pekerjaan yang tertumpu di Kuala Lumpur atau kawasan Selangor akan menyebabkan harga rumah berada paras yang tinggi. Bagi rumah kondominium , pangsapuri dan rumah bandar (townhouse) turut akan meningkat atas permintaan ramai. Persoalannya, mengapa gelembung harga ini berlaku? Apakah kesannya jika senario ini berterusan? Berdasarkan kajian , harga hartanah di beberapa lokasi tertentu di Lembah Klang akan terus berada di paras yang tinggi kerana kekurangan tanah , kenaikan petrol dan peningkatan harga  bahan binaan seperti besi keluli  . Harga besi telah naik sehingga 40 peratus pada akhir 2010 dan dijangka akan naik lagi pada tahun 2012. Maka Pemaju Perumahan terpaksa menaikkan harga perumahan atas kos pembinaan yang tinggi. Walau bagaimanapun, penyediaan perumahan perlu bersesuaian dengan pendapatan kebanyakan penduduk. Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Kerajaan Malaysia komited untuk menyediakan perumahan yang mencukupi, mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah. Tetapi memandangkan keadaan sekarang , harga rumah PPRT pun telah naik antara  RM40 ribu – RM 50 ribu. Harga rumah PPRT yang terlalu tinggi akan memberi impak negatif kepada golongan yang berpendapatan rendah dan menambahkan bebanan kepada golongan yang miskin.
        Skim Rumah Pertamaku ( SRP ) yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu golongan muda yang berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 untuk memiliki rumah pertama mereka adalah tindakan wajar dan disambut baik oleh golongan remaja. Tetapi ,kerajaan bertindak menambahkan pinjaman Skim Rumah Pertamaku  daripada RM200,000 kepada RM400,000 bukan sesuatu tindakan yang wajar , malah akan menyebabkan harga hartanah turut meningkat . Rakyat  khuatir dengan pengumuman tersebut , harga hartanah naik mendadak. Kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah harga rumah naik melampau tinggi, bukan menaikkan had pinjaman pembeli rumah. Dengan pemberian pinjaman perumahan yang terlalu tinggi sehingga mendapat pembiayaan 100% daripada bank-bank tempatan, kebanyakan golongan muda yang baru bekerja tidak mampu membayar balik pinjaman pada masa hadapan.
        Kesimpulannya, dalam  usaha memastikan pembinaan perumahan yang mencukupi , kerajaan harus mengawal harga rumah yang dibina supaya pemaju perumahan tidak menaikkan harga rumah sewenang-wenangnya. Selain itu, kerajaan perlu menilai semula had harga rumah di lokasi tertentu supaya harga rumah yang ditawarkan berpatutan dengan keadaan semasa dan lebih ramai  golongan muda yang bekerja di bandar boleh dapat  memiliki rumah idaman yang selesa dan luas.

1 Malaysia- Menjana Transformasi Negara


Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan dengan perkembangan teknologi yang pesat. Tema Hari Kemerdekaan ke-54 ini ialah 1Malaysia Menjana Transformasi, bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib Tun Razak. Dalam usaha menjana transformasi ini , masyarakat Malaysia akan dibangunkan menjadi masyarakat yang memiliki kualiti kompetitif dari segi penguasaan ilmu pengetahuan, perancangan strategik, kebolehan penyelesaian masalah dan keyakinan untuk berjaya. Bagi mencapai objektif ini, terdapat 10 kriteria yang perlu dibangunkan oleh kerajaan bagi menjadi sebuah negara wawasan yang berjaya. 10 kriteria itu ialah:
Kepemimpinan
Kejayaan sesebuah negara menjana transformasi negara bergantung kepada corak kepemimpinan yang diamalkan.Peranan, sumbangan, kebolehan dan tanggungjawab pemimpin dalam menggerakkan dan mewujudkan keutuhan sesebuah negara adalah penting dalam mencapai matlamat wawasan 2020. Kepemimpinan transformasi ini termasuk pemimpin yang mempunyai keupayaan mengubah minda , keupayaan membawa perubahan yang lebih luas dan mendalam kepada struktur kerajaan , mewujudkan contoh penyampaian perkhidmatan awam yang inovatif dan sikap mesra kepada rakyat ,bersikap inisiatif untuk mengubah perkhidmatan awam , komitmen dan bertekad untuk mempertingkatkan produktiviti kerajaan dan keupayaan menangani masalah rakyat dan negara. Sebelum pemimpin-pemimpin kerajaan membuat keputusan dan bertindak, mereka harus bertindak mematuhi prinsip-prinsip negara yang mendahulukan rakyat, menggunakan sumber secara berhemat, berkerjasama baik dengan pihak dalam dan luar negara demi memastikan keberhasilan besar kepada negara. Gaya kepemimpinan transformasi yang berkesan dan mesra boleh menjana transformasi wawasan negara ke arah mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi.
Pembangunan
Strategi Pembangunan negara yang sistematik dan teratur memainkan peranan  penting untuk menjana transformasi  negara yang berpendapatan tinggi. Untuk pencapaian pembangunan negara yang pesat tidak kira pembangunan sosial atau ekonomi  ,banyak program telah dirancang selaras dengan konsep 1Malaysia, Model Baru Ekonomi, Program Tranformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi ,Gagasan Satu Malaysia dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).Pihak Kerajaan telah melancarkan pelbagai bentuk program pembangunan khusus untuk penduduk luar bandar seperti Pelan  Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB)  .Matlamat utama transformasi  menyediakan garis panduan dan strategi pembangunan luar Bandar secara komprehensif berlandaskan Falsafah Strategi Baru Pembangunan Luar Bandar . Dasar Pembangunan Luar Bandar yang terancang akan melahirkan masyarakat luar bandar yang progresif, berilmu dan berintegriti serta mewujudkan kawasan luar bandar yang maju dan selamat untuk didiami serta seimbang dengan pertumbuhan pembangunan di bandar.  Kadar pengangguran di luar bandar perlu dikurangkan dengan menyediakan peluang pekerjaan , menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam yang holistik dan inovatif, mengukuhkan pengurusan dan penyampaian pembangunan luar bandar supaya lebih efektif, menggalakkan pembangunan mapan serta mengukuhkan nilai positif dan jatidiri masyarakat luar bandar.
Justeru, memperkasakan modal insan, meningkatkan peluang ekonomi, memperbaiki kualiti hidup penduduk di luar bandar dan mengurus luar bandar secara cekap , pembahagian kekayaan yang adil dan mapan adalah misi yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan matlamat ini.
Pendidikan
Pendidikan memainkan peranan penting untuk nenuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Aspek ini dinilai dari segi tahap pendidikan bukan formal dan formal penduduk dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah/menengah dan pengajian tinggi. Tumpuan diberi kepada usaha mempertingkatkan pencapaian pendidikan melalui kelas-kelas bimbingan, perpustakaan , pusat sumber, kelas komputer , program motivasi kerjaya , expo pendidikan dan kerjaya , program bersama persatuan ibu bapa dan guru , program kepimpinan pelajar dan lain-lain di peringkat bandar dan kampung. Bantuan kewangan juga diberikan kepada pelajar yang miskin serta melawat dan membantu pelajar yang memerlukan.
Untuk membangunkan sesebuah masyarakat moden yang makmur, tidak akan dicapai tanpa wujud graduan yang bermutu tinggi. Graduan yang profesional dalam sektor kerajaan dan sektor swasta dapat menyumbang ilmu dan kepakaran masing-masing untuk agama, bangsa dan negara.Oleh demikian, universiti, kolej dan politeknik berperanan secara berkesan dalam meningkatkan taraf pendidikan negara. Sistem pendidikan negara seharusnya memberi penekanan ke atas memperkasakan keupayaan dan harga diri dan mempertingkatkan masyarakat luar bandar di dalam aspek pendidikan dengan tahap minimum memiliki sijil peringkat menengah atas.Para penuntut perlu dibekalkan dengan pendidikan dan latihan yang sentiasa relevan dengan keperluan industri dan  memperluaskan latihan dan kemahiran  berbagai peringkat dan bidang.Disamping itu, menyediakan jurulatih yang kompeten dan berkualiti akan melahirkan modal insan yang boleh menghadapi cabaran baru ekonomi yang berteraskan pengetahuan dan  berkemahiran.
Perpaduan & Kebudayaan
Konsep 1Malaysia telah direkabentuk untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. 1Malaysia menekankan bahawa kerajaan dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar akan memberikan keadilan kepada semua kaum supaya tidak ada mana-mana kaum yang merasakan kelompok mereka terpinggir dari arus pembangunan negara.  Ia berteraskan beberapa nilai- nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Nilai – nilai aspirasi ialah budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti , ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan, dan budaya inovasi. 
Untuk memupuk perpaduan, prinsip keadilan untuk semua kaum perlu dilaksanakan dengan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan dengan melalui dasar-dasar kerajaan. Pembahagian harta kekayaan mengikut nisbah populasi kaum perlu dilaksanakan bagi mengurangkan jurang antara kaum.
Untuk membentuk sikap penerimaan antara kaum, berbagai kempen dan program perlu dilaksanakan seperti program kebudayaan dan perpaduan, kempen gagasan 1 Malaysia, Kempen kibar Jalur Gemilang,  dan Seminar 1Malaysia supaya sesuatu kaum dapat menerima keunikan kaum lain, hidup bersama ,beradab ,bersopan- santun dan saling hormat-menghormati. Sebuah negara yang kukuh dan stabil akan dicapai apabila rakyatnya mengamalkan nilai- nilai dan budaya yang tersenarai di atas. Semua pihak seharusnya mempraktikkan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan keharmonian dan kebudayaan kaum.
Untuk menghayati makna kemerdekaan dan kesedaran masyarakat terhadap perjuangan dan sumbangan tokoh negarawan, program mengenang tokoh negarawan harus dipertingkatkan. Program yang berkesan dapat menaikkan semangat perpaduan negara.
Ekonomi
Bidang Ekonomi memainkan peranan penting untuk menyumbang kepada kemajuan negara. Ia meliputi aspek pertanian dan penternakan, perniagaan, perindustrian dan pelancongan dan sumber kekayaan baru. Sebagai usaha menjadikan negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020, kerajaan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi ( ETP ) yang akan mengangkat pendapatan negara kasar (GNI).  Untuk mencapai matlamat ini, negara perlu meliberalisasikan lebih banyak sektor ekonomi  dan menambah produktiviti, daya saing dan menjadi lebih inovatif. Negara harus mengekalkan sekurang-kurangnya 6% pertumbuhan ekonomi setahun.
Melalui Program Transformasi Ekonomi ke arah persaingan kompetitif, tumpuan akan diberikan kepada aliran pelaburan asing ke negara kita. Peningkatan ini akan membawa perpindahan teknologi baru dan kemasukan buruh asing mahir. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan pertumbuhan negara melalui perkongsian teknologi  maklumat dan perkongsian teknik-teknik pengeluaran yang cekap . Justeru ,peningkatan aliran pelabur asing perlu dititik beratkan.  Pentadbiran yang cekap dan berdaya saing perlu dilaksanakan demi mencapai ekonomi negara berdaya saing dan mapan. Tumpuan juga diberikan kepada perdagangan antarabangsa seperti China, India dan Asia Barat, pada masa yang sama mengekalkan perdagangan dengan Asean, Eropah dan Amerika Syarikat. Promosi dalam dan luar negara perlu dipertingkatkan untuk mengglakkan pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan seperti pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi serta logistik. Kerajaan harus memperluas dan mempelbagaikan pasaran dan aktiviti pemasaran dalam dan luar negara .Ini akan menumpukan kepada usaha meningkatkan sumbangan sektor perkhidmatan kepada pertumbuhan ekonomi negara..
Transformasi ekonomi akan meningkatkan peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor kerajaan dan swasta. Persaingan yang kompetitif di kalangan syarikat awan dan swasta akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan. Peluang pekerjaan yang bertambah akan membasmi kemiskinan dan mengurangkan kadar pengangguran.
Di samping itu , dalam bidang ekonomi, ia meliputi kemajuan sektor pertanian (termasuk ternakan haiwan/air) dan sumbangannya terhadap perkembangan ekonomi dan  penggunaan teknologi serta usaha pertanian yang dijalankan secara komersial.
Melalui bidang perniagaan, perindustrian dan pelancongan pula, pembabitan penduduk kampung dalam projek ekonomi amat digalakkan selain dari sektor pertanian.Ia meliputi perniagaan, industri desa, sektor perkhidmatan, pelancongan, pelaburan/kewangan dan seumpamanya serta usaha yang boleh menyumbang ke arah perwujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra (MPPB). Kerajaan menggalakkan pengurusan dan pengendalian aktiviti ekonomi desa secara kreatif dan inovatif, dan penggunaan teknologi baru
Manakala Sumber Kekayaan Baru, membabitkan kemampuan penduduk setempat
atau individu menggunakan kebolehan, kepandaian, kemahiran, kreativiti dan inovasi untuk mencipta suatu produk unik/baru yang memiliki potensi komersial yang tinggi membabitkan kraf tangan, makanan, fabrik, kecantikan, herba baru dan sebagainya. Justeru peranan kerajaan dalam mempelbagaikan aktiviti ekonomi desa , khususnya pelancongan desa dan industri berasaskan sumber amat penting untuk pertumbuhan ekonomi desa.
Bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi di luar bandar, pelbagai strategi dicadangkan, termasuk penghasilan pelbagai produk menerusi penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang inovatif mampu meningkatkan pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar. Justeru, kerajaan harus mengawal dan memantau pembangunan desa , aktiviti industri dan penerokaan hutan supaya pengurusan yang cekap, terbaik dan mesra alam. Setakat ini, kepelbagaian sumber juga dilihat sebagai peluang bagi masyarakat luar bandar menceburi bidang keusahawanan.
Pengurusan sumber alam secara mapan amat penting untuk menyumbang ke arah negara yang lebih baik.
Pembangunan luar bandar diperlukan demi kesejahteraan penduduk luar bandar. Bagaimanapun, pembangunan yang diharapkan akan dipastikan tidak mengorbankan sumber alam. Oleh itu, antara strategi yang dicadangkan ialah penubuhan Kumpulan Pemantau Alam Sekitar Luar Bandar (Rural Environmental Watch Group) untuk menjadi memantau, menilai dan melaporkan segala aktiviti yang merosakkan alam sekitar. Pertanian secara bioorganik akan terus diberi galak
kan supaya kesan negatif bahan kimia (racun dan baja) ke atas kualiti tanah dan air dapat dikurangkan. Pembenihan semula sumber alam pula akan dipertingkatkan supaya sumber yang hilang, khususnya sumber yang boleh diperbaharui (sumber pertanian, sungai dan laut) dapat diganti.
Teknologi Maklumat & Komunikasi `
Teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT ) adalah satu komponen paling penting dalam memacu pertumbuhan dan perkembangan sektor sosial ekonomi sesebuah negara. Gelombang pembangunan sains dan teknologi maklumat komunikasi yang pesat menjadikan negara kita sebagai “ Global Village ”.Untuk mempertingkatkan daya saing negara di peringkat global,keupayaan ahli masyarakat perlu dinilai khususnya dalam penguasaan dan menggunakan teknologi maklumat di dalam pentadbiran pengurusan dan aktiviti kehidupan masing-masing.Ini termasuk  kebolehan organisasi dan kepimpinan masyarakat dalam mendapatkan maklumat-maklumat terkini yang berfaedah kepada penduduk bandar dan kampung melalui ‘Internet’ dan pelbagai media teknologi maklumat.
Untuk menjana zaman teknologi maklumat dan komunikasi, kerajaan harus menggalakkan penggunaan komputer secara berterusan, memperbanyakkan kursus komputer terutama penggunaan internet dan memberikan kursus percuma kepada warga tua yang ingin tahu tentang komputer. Hasilnya, ini akan menjimatkan masa dan tenaga serta memudahkan pengutusan surat dengan menggunakan e-mail tanpa penglibatan kos yang tinggi. Ini secara tidak langsung akan melahirkan generasi berilmu bertaraf antarabangsa.
Infrastruktur Dan Kemudahan Awam 
Untuk mencapai gaya hidup berkualiti, infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan efektif untuk semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar perlu diperluaskan. Rangkaian jalan raya bandar dan luar bandar yang berkualiti harus dilaksanakan. Keseluruhan pelosok negara sekurang-kurangnya mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik,jalan , sekolah dan hospital. Tetapi, kerajaan perlu menilai keperluan infrastruktur dan kemudahan awam sebelum sesuatu projek dilaksanakan supaya sumber yang ada digunakan pada tahap optimum.  
Penggunaan teknologi terkini dapat mengurangkan kos penyelenggaraan. Bekalan air terawat dan elektrik juga perlu dipertingkatkan dan dinaik taraf. Usaha mengadakan kemudahan bergerak, hibrid matahari (solar hibrid) dan bekalan air dari sumber air bawah tanah atau pembinaan tadahan air semula jadi adalah amat digalakkan.
Kebersihan & Kesihatan
Kesedaran kebersihan dan kesihatan yang diamalkan oleh masyarakat adalah penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi ke arah pembinaan negara bangsa yang sihat.  Ini termasuklah sistem pembuangan sampah, bekalan air bersih, pelupusan najis dan air limbah, sisa-sisa pepejal, kebersihan persekitaran termasuk di tempat awam, penjagaan kawasan dan halaman rumah serta penggunaan ruang-ruang dalam rumah. Program-program seperti program rekreasi dan sukan, kempen derma darah,kempen bumi hijau,kempen gaya hidup sihat,kesihatan diri dan pemakanan sihat, kempen cegah denggi dan  promosi kesihatan perlu dipertingkatkan.
Disamping itu, kerajaan seharusnya sentiasa mengadakan pertandingan rumah kampung secara berperingkat-peringkat iaitu daerah, negeri dan kebangsaan.Ini bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap amalan menjaga kesihatan dan kebersihan persekitaran di samping membentuk kampung yang indah dan tersusun serta masyarakatnya hidup bersatu-padu.
Keselamatan
Keselamatan negara menyumbang secara langsung kepada pelaksanaan agenda-agenda pembangunan negara seperti Program Transformasi Kerajaan,Gagasan 1 Malaysia,Model Ekonomi Baru serta Rancangan Malaysia ke 10 . Ini akan memacu dan membentuk ketenteraman,kestabilan,kekukuhan ekonomi,pemodenan dan kemajuan serta kesejahteraan rakyat. Program-program seperti kempen keselamatan jalan raya, aktiviti kawalan keselamatan kampung, kawalan kebakaran kediaman.dan jenayah dan penjagaan keselamatan diri perlu dilaksanakan di peringkat daerah dan negeri supaya kesedaran orang ramai terhadap keselamatan dapat dipertingkatkan. 
Kerohanian dan Sivik
Aspek kerohanian dan sivik adalah penting dalam menyemarakan tamadun dan jati diri bangsa yang tinggi .Ini menekankan kepada kegiatan dan amalan keagamaan/kerohanian dan sivik di kalangan masyarakat bandar dan kampung. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, generasi muda  tidak akan melakukan perbuatan yang keji,dapat menjauhkan seseorang daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama mereka. Tumpuan boleh diberikan kepada kekerapan dan kesan aktiviti kepada penduduk meliputi kursus-kursus / kelas bimbingan agama, kursus keibubapaan/keluarga bahagia, ceramah mengenai ketatanegaraan, penyalahgunaan dadah, penyakit AIDS, bina diri (Kendiri), kursus mengurus jenayah serta kempen kesedaran. Program -program yang efektif yang mempunyai elemen agama dan kasih sayang dapat menjauhkan ahli-ahli keluarga daripada melakukan sesuatu yang mengaibkan nama baik keluarga mereka. Ini secara langsung sebagai usaha untuk membenteras gejala sosial.m Sukan' olehenterian elia dan sukan adalah langkah positif dalam memberi impak d
Kesimpulannya, '1Malayia Menjana Transformasi' menuntut seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan kedudukan melakukan perubahan minda yang selari dengan cabaran semasa hari ini supaya kemajuan negara dapat dilonjakkan pencapaiannya ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang  tahun 2020. Demi  mencapai visi 2020, kerajaan harus mempertingkatkan kerjasama dengan agensi-agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan. Sistem penyampaian, pemantauan dan penilaian perlu diperkukuhkan serta meningkatkan tahap kapasiti agensi dan pegawai pelaksana. 

Bajet PR Bajet Mat Jenin



Pada awal Oktober lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Bajet Pakatan Rakyat 2012.Bajet 2012 yang dibentangkan oleh beliau adalah tidak berasas dan tidak boleh dipercayai oleh  rakyat Malaysia kerana tidak berdasarkan fakta-fakta yang betul dan diluluskan oleh kabinet.
Pakatan Rakyat (PR) telah memperuntukan jumlah keseluruhan belanjawan sebanyak RM220 billion dan menurut mereka ianya adalah untuk kesejahteraan rakyat. Mereka dengan amat yakin menyatakan ianya sebagai penanda aras dan penimbal balik kepada bajet kerajaan Barisan Nasional. Kononnya fokus utama mereka adalah untuk membantu rakyat mengharungi suasana ekonomi yang semakin terhimpit.PR berkeyakinan untuk mengekang defisit pada kadar 4.4% daripada KDNK yang melibatkan penjimatan perbelanjaan sebanyak RM 14billion dari kadar yang dibelanjakan oleh BN.
Kita menjangkakan bahawa pembentangan ini hanyalah janji kosong mereka demi meraih kembali sokongan rakyat Malaysia terhadap mereka selepas beberapa insiden dan isu sensitif dibangkitkan sebelum itu yang mengakibatkan rakyat khususnya penyokong mereka sendiri sudah hilang sabar dan tidak yakin lagi dengan perjuangan sonsang mereka yang kononnya perjuangan untuk rakyat tetapi ia sekadar perjuangan untuk Anwar Ibrahim  dan DAP. PAS tidak dilihat sebagai prominent parti lagi didalam Pakatan Rakyat selepas hala tuju perjuangan parti mereka kerap kali dikritik oleh rakan sebantal mereka ,DAP yang sememangnya tidak suka akan perjuangan mengangkat martabat Islam.Justeru,PAS hanyalah dijadikan sebagai alat untuk meraih sokongan masyarakat melayu  dan membantu PR dalam pilihan raya sahaja .Lihatlah dalam isu hudud, PR menolak pelaksanaan hudud dan PAS akur tanpa sebarang bantahan .
Oleh yang demikian,pembentangan belanjawan Mat Jenin ini hanya bakal menjadi platform bagi mereka untuk menghentam dan mengkritik dasar-dasar kerajaan  dan percubaan mengangkat belanjawan mereka sebagai yang terbaik dan perlu diterima oleh semua rakyat Malaysia. Disebalik perjuangan kononnya membela rakyat, mereka mempunyai agenda untuk merampas Malaysia dengan apa cara membohongi rakyat secara berterusan.
            Antara inti pati belanjawan yang berupa khayalan ini adalah seperti ingin melaksanakan             bayaran bonus warga emas yang layak sebanyak RM1000 setahun , bayaran suri rumah sebanyak RM 1000 setahun, bayaran tambahan isi rumah di dalam kategori miskin tegar , kenaikan bantuan dari JKM dari RM300 kepada RM550 sebulan, pembayaran elaun pendidik sebanyak RM500 sebulan bagi guru, dan pelbagai lagi gula-gula yang ditaburkan yang melibatkan berbillion ringgit untuk kepentingan politik tanpa menghiraukan keupayaan sebenar ekonomi mereka.
            Kita meragui dimanakah PR memperolehi sumber pendapatan untuk melaksanakan belanjawan RM220 billion memandangkan ketika ini mereka tidak mempunyai pengurusan yang cekap dan mereka bukanlah sebuah kerajaan yang mempunyai data-data yang lengkap untuk merangka belanjawan.
Kalau kita kaitkan sedikit, janji pilihanraya untuk negeri yang menang pada PRU 12 masih banyak belum ditunaikan dan sekarang PR menjanjikan sesuatu yang lebih besar yang sukar dilaksanakan pada masa akan datang. Ini boleh dilihat melalui negeri Selangor dimana pentadbiran mereka telah merosot dan kos pengurusan adalah tinggi. Selain itu, terdapat banyak janji yang tidak ditunaikan seperti pembayaran warga emas , ibu tunggal dan lain-lain. Adakah PR boleh diberi kepercayaan setelah melihat imej pentadbiran yang buruk di negeri Selangor ?
            Salah satu perkara yang disebut dalam bajet adalah kenaikan gaji kakitangan kerajaan kepada minimum RM 1100 sebulan , bunyinya menarik bukan setakat kakitangan kerajaan sehaja , malah sesiapapun pasti amat gembira . Isu kenaikan gaji telah lama dimainkan oleh PR tetapi menuju jalan buntu dan tidak berhasil.
            Sebagai ingatan pada 2007, Tun Abdullah Badawi telah menaikkan gaji awam antara 25%-40% dan kesannya harga barangan naik mendadak dimana beras 5 kg harga biasa ialah RM10 dinaikan ke RM12- RM15. Ini belum termasuk barangan lain sedangkan yang naik gaji hanya sekitar 1juta orang dari 26-27 juta rakyat pada masa itu. Pendek cerita ,kenaikan gaji tidak mempengaruhi peningkatan sokongan rakyat kepada BN. Jadi , apakah kesannya sekiranya cadangan Anwar itu menjadi kenyataan ? Permintaan barang keperluan yang tinggi daripada kumpulan kakitangan kerajaan akan menyebabkan kakitangan swasta yang tidak terlibat di dalam kenaikan gaji akan menjadi mangsa.
            Kesan ini boleh dilihat dengan kakitangan kerajaan negeri Selangor yang diperintah oleh PR. Beberapa minggu lepas, MB Selangor telah mengumumkan bahawa negeri Selangor mempunyai wang simpanan RM 1.1 billion sedangkan kita tahu Selangor mengalami belanjawan defisit selama 3 tahun berturut-turut. Yang menjadi persoalan sekiranya benar mempunyai wang sebanyak itu mengapakah Khalid Ibrahim tidak menaikan gaji minimum kakitangan kerajaan negeri Selangor terlebih dahulu? Sepatutnya perkara ini perlu dilakukan dahulu di negeri Selangor bagi membuktikan kepada rakyat sebelum Anwar mempraktikannya di peringkat nasional.
            Jadi, percayalah Anwar Ibrahim tidak akan menaikkan gaji minimum kakitangan awam negara ini kerana ianya melibatkan kos yang terlalu besar dan kesan kenaikan harga barangan yang tidak terkawal.Kesimpulannya, janji Anwar di dalam bajet ini sekali lagi bertujuan untuk menipu rakyat, tidak jauh berbeza dengan pembohongan terbesarnya lebih 3 tahun dahulu. Beliau berusaha berjanji apa sahaja asalkan berjaya mencapai cita-citanya.
            Sepanjang pembentangan bajet tersebut, tidak pula dinyatakan bagaimana PR akan memperolehi pendapatan mereka untuk menampung keperluan bajet tersebut. Sekiranya perkiraan mereka berdasarkan untuk menyambung apa yang telah disusun dan dijana oleh BN maka mereka sebenarnya adalah tak ubah seperti sikudung mendapat cincin. Mereka akan menggunakan semua wang yang ada hanya untuk menunaikan janji sahaja dan diakhirnya negara akan menjadi muflis.
Sesiapapun boleh menabur janji tetapi untuk menunaikannya bukan sesuatu yang mudah apatah lagi melibatkan wang RM220 billion ringgit. Pelbagai aspek professional yang memerlukan kepakaran pelbagai pihak antaranya Bank Negara, pakar ekonomi,penasihat kewangan dan lain-lain agensi diperlukan dan ianya akan mengambil masa yang lama untuk merumus belanjawan tersebut. Ianya bukan boleh dicipta dalam masa 2 hari apatah lagi tiada kepakaran dan bank data yang lengkap.
Kesimpulannya, mudah untuk berjanji dan bercakap apa sahaja tanpa perancangan teliti dan tambahan pula melibatkan cerita berbillion ringgit. Berapa ramai individu yang benar-benar ingin mengira segala apa yang dibentangkan oleh Anwar? Masyarakat akan terpesona dengan segala pemberian percuma dan gula-gula yang dihulurkan. PR sememangnya tahu tidak akan Berjaya untuk menawan Malaysia justeru mengambil peluang untuk berjanji apa sahaja untuk mengumpan rakyat Malaysia. Wang kerajaan Barisan Nasional telah tersedia untuk dihabiskan oleh mereka sekiranya berjaya membentuk kerajaan pada PRU 13 nanti. Persoalannya berapa lama masa diambil untuk menjadikan negara ini muflis sepenuhnya? Mereka boleh berjanji tetapi belum tentu boleh menjadi kerajaan yang baik kerana semuanya adalah cakap kosong orang-orang yang ingin berkuasa tanpa menghiraukan nasib sebenar rakyat Malaysia.