Sunday, October 30, 2011

Gelembung Harga Rumah Di Lembah Klang

      Sektor Perumahan adalah penting untuk menyediakan perlindungan yang baik dan  menjamin kesejahteraan rakyat sesebuah negara. Tetapi apa yang berlaku di Malaysia ialah harga rumah di Malaysia melambung melampau naik bukan sahaja menyebabkan golongan bawahan tidak mampu  memiliki rumah, malah golongan pertengahan juga turut  tidak mampu membelinya.  Harga rumah jenis teres, berkembang dan banglo naik mencecah di beberapa lokasi tertentu di Lembah Klang  kerana kekurangan tanah. Jika seseorang mahasiswa yang baru bekerja di Lembah Klang yang pendapatan sebulan sekitar RM1800 – RM2500 sebulan, adalah tidak mampu membeli seunit rumah teres di Lembah Klang. Berdasarkan kajian terkini  Real Estate and Housing Developers’ Association (REDHA), purata harga seunit rumah teres ialah RM 400 ribu. Dengan gaji sebulan RM 2500 dan pinjaman pembiayaan 90% daripada bank, seorang mahasiswa akan menghabiskan gaji sebulan untuk membayar balik ansuran bulanan pinjaman bank.
     Peluang pekerjaan yang tertumpu di Kuala Lumpur atau kawasan Selangor akan menyebabkan harga rumah berada paras yang tinggi. Bagi rumah kondominium , pangsapuri dan rumah bandar (townhouse) turut akan meningkat atas permintaan ramai. Persoalannya, mengapa gelembung harga ini berlaku? Apakah kesannya jika senario ini berterusan? Berdasarkan kajian , harga hartanah di beberapa lokasi tertentu di Lembah Klang akan terus berada di paras yang tinggi kerana kekurangan tanah , kenaikan petrol dan peningkatan harga  bahan binaan seperti besi keluli  . Harga besi telah naik sehingga 40 peratus pada akhir 2010 dan dijangka akan naik lagi pada tahun 2012. Maka Pemaju Perumahan terpaksa menaikkan harga perumahan atas kos pembinaan yang tinggi. Walau bagaimanapun, penyediaan perumahan perlu bersesuaian dengan pendapatan kebanyakan penduduk. Di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), Kerajaan Malaysia komited untuk menyediakan perumahan yang mencukupi, mampu milik dan berkualiti untuk semua rakyat Malaysia terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah. Tetapi memandangkan keadaan sekarang , harga rumah PPRT pun telah naik antara  RM40 ribu – RM 50 ribu. Harga rumah PPRT yang terlalu tinggi akan memberi impak negatif kepada golongan yang berpendapatan rendah dan menambahkan bebanan kepada golongan yang miskin.
        Skim Rumah Pertamaku ( SRP ) yang diumumkan oleh kerajaan Malaysia untuk membantu golongan muda yang berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 untuk memiliki rumah pertama mereka adalah tindakan wajar dan disambut baik oleh golongan remaja. Tetapi ,kerajaan bertindak menambahkan pinjaman Skim Rumah Pertamaku  daripada RM200,000 kepada RM400,000 bukan sesuatu tindakan yang wajar , malah akan menyebabkan harga hartanah turut meningkat . Rakyat  khuatir dengan pengumuman tersebut , harga hartanah naik mendadak. Kerajaan sepatutnya menyelesaikan masalah harga rumah naik melampau tinggi, bukan menaikkan had pinjaman pembeli rumah. Dengan pemberian pinjaman perumahan yang terlalu tinggi sehingga mendapat pembiayaan 100% daripada bank-bank tempatan, kebanyakan golongan muda yang baru bekerja tidak mampu membayar balik pinjaman pada masa hadapan.
        Kesimpulannya, dalam  usaha memastikan pembinaan perumahan yang mencukupi , kerajaan harus mengawal harga rumah yang dibina supaya pemaju perumahan tidak menaikkan harga rumah sewenang-wenangnya. Selain itu, kerajaan perlu menilai semula had harga rumah di lokasi tertentu supaya harga rumah yang ditawarkan berpatutan dengan keadaan semasa dan lebih ramai  golongan muda yang bekerja di bandar boleh dapat  memiliki rumah idaman yang selesa dan luas.

No comments: