Sunday, October 30, 2011

1 Malaysia- Menjana Transformasi Negara


Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan dengan perkembangan teknologi yang pesat. Tema Hari Kemerdekaan ke-54 ini ialah 1Malaysia Menjana Transformasi, bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri kita, Dato Seri Najib Tun Razak. Dalam usaha menjana transformasi ini , masyarakat Malaysia akan dibangunkan menjadi masyarakat yang memiliki kualiti kompetitif dari segi penguasaan ilmu pengetahuan, perancangan strategik, kebolehan penyelesaian masalah dan keyakinan untuk berjaya. Bagi mencapai objektif ini, terdapat 10 kriteria yang perlu dibangunkan oleh kerajaan bagi menjadi sebuah negara wawasan yang berjaya. 10 kriteria itu ialah:
Kepemimpinan
Kejayaan sesebuah negara menjana transformasi negara bergantung kepada corak kepemimpinan yang diamalkan.Peranan, sumbangan, kebolehan dan tanggungjawab pemimpin dalam menggerakkan dan mewujudkan keutuhan sesebuah negara adalah penting dalam mencapai matlamat wawasan 2020. Kepemimpinan transformasi ini termasuk pemimpin yang mempunyai keupayaan mengubah minda , keupayaan membawa perubahan yang lebih luas dan mendalam kepada struktur kerajaan , mewujudkan contoh penyampaian perkhidmatan awam yang inovatif dan sikap mesra kepada rakyat ,bersikap inisiatif untuk mengubah perkhidmatan awam , komitmen dan bertekad untuk mempertingkatkan produktiviti kerajaan dan keupayaan menangani masalah rakyat dan negara. Sebelum pemimpin-pemimpin kerajaan membuat keputusan dan bertindak, mereka harus bertindak mematuhi prinsip-prinsip negara yang mendahulukan rakyat, menggunakan sumber secara berhemat, berkerjasama baik dengan pihak dalam dan luar negara demi memastikan keberhasilan besar kepada negara. Gaya kepemimpinan transformasi yang berkesan dan mesra boleh menjana transformasi wawasan negara ke arah mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi.
Pembangunan
Strategi Pembangunan negara yang sistematik dan teratur memainkan peranan  penting untuk menjana transformasi  negara yang berpendapatan tinggi. Untuk pencapaian pembangunan negara yang pesat tidak kira pembangunan sosial atau ekonomi  ,banyak program telah dirancang selaras dengan konsep 1Malaysia, Model Baru Ekonomi, Program Tranformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi ,Gagasan Satu Malaysia dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).Pihak Kerajaan telah melancarkan pelbagai bentuk program pembangunan khusus untuk penduduk luar bandar seperti Pelan  Induk Pembangunan Luar Bandar (PIPLB)  .Matlamat utama transformasi  menyediakan garis panduan dan strategi pembangunan luar Bandar secara komprehensif berlandaskan Falsafah Strategi Baru Pembangunan Luar Bandar . Dasar Pembangunan Luar Bandar yang terancang akan melahirkan masyarakat luar bandar yang progresif, berilmu dan berintegriti serta mewujudkan kawasan luar bandar yang maju dan selamat untuk didiami serta seimbang dengan pertumbuhan pembangunan di bandar.  Kadar pengangguran di luar bandar perlu dikurangkan dengan menyediakan peluang pekerjaan , menyediakan kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam yang holistik dan inovatif, mengukuhkan pengurusan dan penyampaian pembangunan luar bandar supaya lebih efektif, menggalakkan pembangunan mapan serta mengukuhkan nilai positif dan jatidiri masyarakat luar bandar.
Justeru, memperkasakan modal insan, meningkatkan peluang ekonomi, memperbaiki kualiti hidup penduduk di luar bandar dan mengurus luar bandar secara cekap , pembahagian kekayaan yang adil dan mapan adalah misi yang perlu dilaksanakan bagi menjayakan matlamat ini.
Pendidikan
Pendidikan memainkan peranan penting untuk nenuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Aspek ini dinilai dari segi tahap pendidikan bukan formal dan formal penduduk dari peringkat pra-sekolah, sekolah rendah/menengah dan pengajian tinggi. Tumpuan diberi kepada usaha mempertingkatkan pencapaian pendidikan melalui kelas-kelas bimbingan, perpustakaan , pusat sumber, kelas komputer , program motivasi kerjaya , expo pendidikan dan kerjaya , program bersama persatuan ibu bapa dan guru , program kepimpinan pelajar dan lain-lain di peringkat bandar dan kampung. Bantuan kewangan juga diberikan kepada pelajar yang miskin serta melawat dan membantu pelajar yang memerlukan.
Untuk membangunkan sesebuah masyarakat moden yang makmur, tidak akan dicapai tanpa wujud graduan yang bermutu tinggi. Graduan yang profesional dalam sektor kerajaan dan sektor swasta dapat menyumbang ilmu dan kepakaran masing-masing untuk agama, bangsa dan negara.Oleh demikian, universiti, kolej dan politeknik berperanan secara berkesan dalam meningkatkan taraf pendidikan negara. Sistem pendidikan negara seharusnya memberi penekanan ke atas memperkasakan keupayaan dan harga diri dan mempertingkatkan masyarakat luar bandar di dalam aspek pendidikan dengan tahap minimum memiliki sijil peringkat menengah atas.Para penuntut perlu dibekalkan dengan pendidikan dan latihan yang sentiasa relevan dengan keperluan industri dan  memperluaskan latihan dan kemahiran  berbagai peringkat dan bidang.Disamping itu, menyediakan jurulatih yang kompeten dan berkualiti akan melahirkan modal insan yang boleh menghadapi cabaran baru ekonomi yang berteraskan pengetahuan dan  berkemahiran.
Perpaduan & Kebudayaan
Konsep 1Malaysia telah direkabentuk untuk memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. 1Malaysia menekankan bahawa kerajaan dalam merangka dan melaksanakan sesuatu dasar akan memberikan keadilan kepada semua kaum supaya tidak ada mana-mana kaum yang merasakan kelompok mereka terpinggir dari arus pembangunan negara.  Ia berteraskan beberapa nilai- nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Nilai – nilai aspirasi ialah budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti , ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan, dan budaya inovasi. 
Untuk memupuk perpaduan, prinsip keadilan untuk semua kaum perlu dilaksanakan dengan memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan dengan melalui dasar-dasar kerajaan. Pembahagian harta kekayaan mengikut nisbah populasi kaum perlu dilaksanakan bagi mengurangkan jurang antara kaum.
Untuk membentuk sikap penerimaan antara kaum, berbagai kempen dan program perlu dilaksanakan seperti program kebudayaan dan perpaduan, kempen gagasan 1 Malaysia, Kempen kibar Jalur Gemilang,  dan Seminar 1Malaysia supaya sesuatu kaum dapat menerima keunikan kaum lain, hidup bersama ,beradab ,bersopan- santun dan saling hormat-menghormati. Sebuah negara yang kukuh dan stabil akan dicapai apabila rakyatnya mengamalkan nilai- nilai dan budaya yang tersenarai di atas. Semua pihak seharusnya mempraktikkan amalan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan keharmonian dan kebudayaan kaum.
Untuk menghayati makna kemerdekaan dan kesedaran masyarakat terhadap perjuangan dan sumbangan tokoh negarawan, program mengenang tokoh negarawan harus dipertingkatkan. Program yang berkesan dapat menaikkan semangat perpaduan negara.
Ekonomi
Bidang Ekonomi memainkan peranan penting untuk menyumbang kepada kemajuan negara. Ia meliputi aspek pertanian dan penternakan, perniagaan, perindustrian dan pelancongan dan sumber kekayaan baru. Sebagai usaha menjadikan negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020, kerajaan melaksanakan Program Transformasi Ekonomi ( ETP ) yang akan mengangkat pendapatan negara kasar (GNI).  Untuk mencapai matlamat ini, negara perlu meliberalisasikan lebih banyak sektor ekonomi  dan menambah produktiviti, daya saing dan menjadi lebih inovatif. Negara harus mengekalkan sekurang-kurangnya 6% pertumbuhan ekonomi setahun.
Melalui Program Transformasi Ekonomi ke arah persaingan kompetitif, tumpuan akan diberikan kepada aliran pelaburan asing ke negara kita. Peningkatan ini akan membawa perpindahan teknologi baru dan kemasukan buruh asing mahir. Ini secara tidak langsung akan meningkatkan pertumbuhan negara melalui perkongsian teknologi  maklumat dan perkongsian teknik-teknik pengeluaran yang cekap . Justeru ,peningkatan aliran pelabur asing perlu dititik beratkan.  Pentadbiran yang cekap dan berdaya saing perlu dilaksanakan demi mencapai ekonomi negara berdaya saing dan mapan. Tumpuan juga diberikan kepada perdagangan antarabangsa seperti China, India dan Asia Barat, pada masa yang sama mengekalkan perdagangan dengan Asean, Eropah dan Amerika Syarikat. Promosi dalam dan luar negara perlu dipertingkatkan untuk mengglakkan pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan seperti pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi serta logistik. Kerajaan harus memperluas dan mempelbagaikan pasaran dan aktiviti pemasaran dalam dan luar negara .Ini akan menumpukan kepada usaha meningkatkan sumbangan sektor perkhidmatan kepada pertumbuhan ekonomi negara..
Transformasi ekonomi akan meningkatkan peluang pekerjaan daripada pelbagai sektor kerajaan dan swasta. Persaingan yang kompetitif di kalangan syarikat awan dan swasta akan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan. Peluang pekerjaan yang bertambah akan membasmi kemiskinan dan mengurangkan kadar pengangguran.
Di samping itu , dalam bidang ekonomi, ia meliputi kemajuan sektor pertanian (termasuk ternakan haiwan/air) dan sumbangannya terhadap perkembangan ekonomi dan  penggunaan teknologi serta usaha pertanian yang dijalankan secara komersial.
Melalui bidang perniagaan, perindustrian dan pelancongan pula, pembabitan penduduk kampung dalam projek ekonomi amat digalakkan selain dari sektor pertanian.Ia meliputi perniagaan, industri desa, sektor perkhidmatan, pelancongan, pelaburan/kewangan dan seumpamanya serta usaha yang boleh menyumbang ke arah perwujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra (MPPB). Kerajaan menggalakkan pengurusan dan pengendalian aktiviti ekonomi desa secara kreatif dan inovatif, dan penggunaan teknologi baru
Manakala Sumber Kekayaan Baru, membabitkan kemampuan penduduk setempat
atau individu menggunakan kebolehan, kepandaian, kemahiran, kreativiti dan inovasi untuk mencipta suatu produk unik/baru yang memiliki potensi komersial yang tinggi membabitkan kraf tangan, makanan, fabrik, kecantikan, herba baru dan sebagainya. Justeru peranan kerajaan dalam mempelbagaikan aktiviti ekonomi desa , khususnya pelancongan desa dan industri berasaskan sumber amat penting untuk pertumbuhan ekonomi desa.
Bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi di luar bandar, pelbagai strategi dicadangkan, termasuk penghasilan pelbagai produk menerusi penyelidikan dan pembangunan (P&P) yang inovatif mampu meningkatkan pembangunan ekonomi masyarakat luar bandar. Justeru, kerajaan harus mengawal dan memantau pembangunan desa , aktiviti industri dan penerokaan hutan supaya pengurusan yang cekap, terbaik dan mesra alam. Setakat ini, kepelbagaian sumber juga dilihat sebagai peluang bagi masyarakat luar bandar menceburi bidang keusahawanan.
Pengurusan sumber alam secara mapan amat penting untuk menyumbang ke arah negara yang lebih baik.
Pembangunan luar bandar diperlukan demi kesejahteraan penduduk luar bandar. Bagaimanapun, pembangunan yang diharapkan akan dipastikan tidak mengorbankan sumber alam. Oleh itu, antara strategi yang dicadangkan ialah penubuhan Kumpulan Pemantau Alam Sekitar Luar Bandar (Rural Environmental Watch Group) untuk menjadi memantau, menilai dan melaporkan segala aktiviti yang merosakkan alam sekitar. Pertanian secara bioorganik akan terus diberi galak
kan supaya kesan negatif bahan kimia (racun dan baja) ke atas kualiti tanah dan air dapat dikurangkan. Pembenihan semula sumber alam pula akan dipertingkatkan supaya sumber yang hilang, khususnya sumber yang boleh diperbaharui (sumber pertanian, sungai dan laut) dapat diganti.
Teknologi Maklumat & Komunikasi `
Teknologi maklumat dan komunikasi ( ICT ) adalah satu komponen paling penting dalam memacu pertumbuhan dan perkembangan sektor sosial ekonomi sesebuah negara. Gelombang pembangunan sains dan teknologi maklumat komunikasi yang pesat menjadikan negara kita sebagai “ Global Village ”.Untuk mempertingkatkan daya saing negara di peringkat global,keupayaan ahli masyarakat perlu dinilai khususnya dalam penguasaan dan menggunakan teknologi maklumat di dalam pentadbiran pengurusan dan aktiviti kehidupan masing-masing.Ini termasuk  kebolehan organisasi dan kepimpinan masyarakat dalam mendapatkan maklumat-maklumat terkini yang berfaedah kepada penduduk bandar dan kampung melalui ‘Internet’ dan pelbagai media teknologi maklumat.
Untuk menjana zaman teknologi maklumat dan komunikasi, kerajaan harus menggalakkan penggunaan komputer secara berterusan, memperbanyakkan kursus komputer terutama penggunaan internet dan memberikan kursus percuma kepada warga tua yang ingin tahu tentang komputer. Hasilnya, ini akan menjimatkan masa dan tenaga serta memudahkan pengutusan surat dengan menggunakan e-mail tanpa penglibatan kos yang tinggi. Ini secara tidak langsung akan melahirkan generasi berilmu bertaraf antarabangsa.
Infrastruktur Dan Kemudahan Awam 
Untuk mencapai gaya hidup berkualiti, infrastruktur dan kemudahan awam yang menyeluruh dan efektif untuk semua lapisan masyarakat di bandar dan luar bandar perlu diperluaskan. Rangkaian jalan raya bandar dan luar bandar yang berkualiti harus dilaksanakan. Keseluruhan pelosok negara sekurang-kurangnya mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik,jalan , sekolah dan hospital. Tetapi, kerajaan perlu menilai keperluan infrastruktur dan kemudahan awam sebelum sesuatu projek dilaksanakan supaya sumber yang ada digunakan pada tahap optimum.  
Penggunaan teknologi terkini dapat mengurangkan kos penyelenggaraan. Bekalan air terawat dan elektrik juga perlu dipertingkatkan dan dinaik taraf. Usaha mengadakan kemudahan bergerak, hibrid matahari (solar hibrid) dan bekalan air dari sumber air bawah tanah atau pembinaan tadahan air semula jadi adalah amat digalakkan.
Kebersihan & Kesihatan
Kesedaran kebersihan dan kesihatan yang diamalkan oleh masyarakat adalah penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi ke arah pembinaan negara bangsa yang sihat.  Ini termasuklah sistem pembuangan sampah, bekalan air bersih, pelupusan najis dan air limbah, sisa-sisa pepejal, kebersihan persekitaran termasuk di tempat awam, penjagaan kawasan dan halaman rumah serta penggunaan ruang-ruang dalam rumah. Program-program seperti program rekreasi dan sukan, kempen derma darah,kempen bumi hijau,kempen gaya hidup sihat,kesihatan diri dan pemakanan sihat, kempen cegah denggi dan  promosi kesihatan perlu dipertingkatkan.
Disamping itu, kerajaan seharusnya sentiasa mengadakan pertandingan rumah kampung secara berperingkat-peringkat iaitu daerah, negeri dan kebangsaan.Ini bertujuan untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap amalan menjaga kesihatan dan kebersihan persekitaran di samping membentuk kampung yang indah dan tersusun serta masyarakatnya hidup bersatu-padu.
Keselamatan
Keselamatan negara menyumbang secara langsung kepada pelaksanaan agenda-agenda pembangunan negara seperti Program Transformasi Kerajaan,Gagasan 1 Malaysia,Model Ekonomi Baru serta Rancangan Malaysia ke 10 . Ini akan memacu dan membentuk ketenteraman,kestabilan,kekukuhan ekonomi,pemodenan dan kemajuan serta kesejahteraan rakyat. Program-program seperti kempen keselamatan jalan raya, aktiviti kawalan keselamatan kampung, kawalan kebakaran kediaman.dan jenayah dan penjagaan keselamatan diri perlu dilaksanakan di peringkat daerah dan negeri supaya kesedaran orang ramai terhadap keselamatan dapat dipertingkatkan. 
Kerohanian dan Sivik
Aspek kerohanian dan sivik adalah penting dalam menyemarakan tamadun dan jati diri bangsa yang tinggi .Ini menekankan kepada kegiatan dan amalan keagamaan/kerohanian dan sivik di kalangan masyarakat bandar dan kampung. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, generasi muda  tidak akan melakukan perbuatan yang keji,dapat menjauhkan seseorang daripada melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak agama mereka. Tumpuan boleh diberikan kepada kekerapan dan kesan aktiviti kepada penduduk meliputi kursus-kursus / kelas bimbingan agama, kursus keibubapaan/keluarga bahagia, ceramah mengenai ketatanegaraan, penyalahgunaan dadah, penyakit AIDS, bina diri (Kendiri), kursus mengurus jenayah serta kempen kesedaran. Program -program yang efektif yang mempunyai elemen agama dan kasih sayang dapat menjauhkan ahli-ahli keluarga daripada melakukan sesuatu yang mengaibkan nama baik keluarga mereka. Ini secara langsung sebagai usaha untuk membenteras gejala sosial.m Sukan' olehenterian elia dan sukan adalah langkah positif dalam memberi impak d
Kesimpulannya, '1Malayia Menjana Transformasi' menuntut seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan kedudukan melakukan perubahan minda yang selari dengan cabaran semasa hari ini supaya kemajuan negara dapat dilonjakkan pencapaiannya ke arah negara maju berpendapatan tinggi menjelang  tahun 2020. Demi  mencapai visi 2020, kerajaan harus mempertingkatkan kerjasama dengan agensi-agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan. Sistem penyampaian, pemantauan dan penilaian perlu diperkukuhkan serta meningkatkan tahap kapasiti agensi dan pegawai pelaksana. 

No comments: